ARAHAN BERKABUNG

Arahan berkabung yang telah dikeluarkan oleh YAB Menteri Besar Johor hendaklah dilaksanakan kepada semua guru, staf dan murid di sekolah. Bagi lelaki muslim adalah songkok berlilit putih, bagi perempuan muslim tudung putih, bagi lelaki dan perempuan bukan muslim kain hitam lilit di lengan baju kiri. Bendera Negeri Johor dikibar setengah tiang 7 hari bermula 23 JANUARI 2010 sehingga 29 JANUARI 2010. Tiada Aktiviti berbentuk hiburan.

"Oleh itu ketahuilah bahawa dengan titah perintah Duli Yang Amat Mulia Tunku Ibrahim Ismail Ibni Almarhum Sultan Iskandar Pemangku Raja adalah ditentukan perkabungan kerana kemangkatan Duli Yang Maha Mulia Baginda Almutawakkil ‘Alallah Sultan Iskandar Ibni Almarhum Sultan Ismail, Sultan dan Yang Dipertuan Bagi Negeri dan Jajahan Takluk Johor Darul Ta’zim, iaitu mulai hari ini 22 Januari 2010 seperti di bawah ini:


  1. Bendera Negeri diturunkan separuh tiang dan hari berikutnya dinaikkan separuh tiang dari jam 6.00 pagi hingga 6.00 petang dan sedimikian selama 7 hari dari tarikh dimakam Jenazah Al-Marhum Baginda Almutawakkil ‘Alallah Sultan Iskandar Ibni Almarhum Sultan Ismail, Sultan dan Yang Dipertuan Bagi Negeri dan Jajahan Takluk Johor Darul Ta’zim.
  2. Segala Bangunan-Bangunan Kerajaan hendaklah dinaikkan Bendera Negeri separuh tiang bagaimana waktu tersebut dalam (1) di atas dan demikian selama 7 hari daripada tarikh dimakamkan Jenazah Al-Marhum Baginda Almutawakkil ‘Alallah Sultan Iskandar Ibni Almarhum Sultan Ismail, Sultan dan Yang Dipertuan Bagi Negeri dan Jajahan Takluk Johor Darul Ta’zim.
  3. Segala bentuk hiburan dan permainan hendaklah dibatalkan pada siang dan malam tersebut pada hari memakamkan Jenazah Al-Marhum Baginda Almutawakkil ‘Alallah Sultan Iskandar Ibni Almarhum Sultan Ismail, Sultan dan Yang Dipertuan Bagi Negeri dan Jajahan Takluk Johor Darul Ta’zim.
  4. Semua masjid-masjid dan surau surau-surau di dalam Negeri Johor hendaklah mengadakan Majlis Tahlil dan Doa ke atas roh Al-Marhum Duli Yang Maha Mulia Tuanku itu selepas Fardhu Maghrib selama tujuh (7) hari selepas daripada dimakamkan Jenazah Al-Marhum Baginda Almutawakkil ‘Alallah Sultan Iskandar Ibni Almarhum Sultan Ismail, Sultan dan Yang Dipertuan Bagi Negeri dan Jajahan Takluk Johor Darul Ta’zim.
  5. Rakyat-rakyat dan penduduk negeri ini hendaklah berkabung dari tarikh ini dan kemudian daripada dimakamkan Jenazah Al-Marhum Duli Yang Maha Mulia itu selama tujuh (7) hari.



PERATURAN BERKABUNG


  1. Bagi orang-orang Melayu hendaklah memakai tanda perkabungan kain putih berlilit selilit sahaja, selebar 2 inci pada songkok.
  2. Bagi lain-lain bangsa dan agama, memakai selilit kain hitam lebarnya 3 inci di lengan kiri dan bertali leher warna hitam.
  3. Bagi mereka-mereka yang berhak memakai uniform dan pada majlis yang tertentu, selilit kain hitam lebarnya 3 inci di lengan kiri.
  4. Bagi perempuan Melayu, hendaklah memakai tudung kepala warna putih.
  5. Bagi orang-orang perempuan lain bangsa atau agama, memakai selilit kain hitam lebarnya 3 inci di lengan kiri."
**Salinan dari PPDJB